PERATURAN-PERATURAN PERLU RUKUN TETANGGA
(1975)
1. PENDAHULUAN
1.1. Skim Rondaan Sukarela adalah suatu
skim yang dipohon oleh pemastautin sukarelawan di bawah Peraturan 27A,
Peraturan-Peraturan Perlu Rukun Tetangga (1975), Pindaan 1988.
1.2. Skim ini dikendalikan oleh
Jawatankuasa Rukun Tetangga yang bertindak sebagai Jawatankuasa Skim, manakala
rondaan dilaksanakan oleh tidak kurang dari 20 pemastautin sukarelawan yang
memohon untuk melaksanakan rondaan di sebahagian atau di seluruh kawasan Rukun
Tetangga.
1.3. Skim Rondaan Sukarela dijangka menjadi
tulang belakang bagi program serta aktiviti Rukun Tetangga kerana ia boleh
mencegah kejadian dan gejala sosial negatif di samping dapat merapatkan
hubungan Rukun Tetangga dengan penduduk setempat.
2. TAFSIRAN
2.1. Skim Rondaan Sukarela bermaksud
satu skim yang dipohon sendiri oleh pemastautin dan apabila diluluskan akan
dikendalikan sepenuhnya oleh Jawatankuasa Skim dengan kerjasama Pemastautin
Sukarelawan dalam sesuatu Kawasan/Sektor Rukun Tetangga yang berkenaan.
2.2. Jawatankuasa Skim bermaksud
Jawatankuasa Kawasan/Sektor yang mengendalikan Skim Rondaan Sukarela dalam
Kawasan/Sektor Rukun Tetangga yang berkenaan.
2.3. Ahli Jawatankuasa Skim
bermaksud Ahli Jawatankuasa Kawasan/Sektor Rukun Tetangga yang mengendalikan
Skim Rondaan Sukarela dalam Kawasan/Sektor Rukun Tetangga yang berkenaan.
2.4. Pemastautin Sukarelawan
bermaksud seseorang yang telah membuat permohonan melalui Borang Enam dan Tujuh
untuk menyertai Skim tersebut.
2.5. Peralatan Rondaan bermaksud
peralatan bagi menjalankan Skim Rondaan Sukarela adalah seperti vest, wisel,
cota, lampu picit, baju hujan dan lain-lain yang dibekalkanoleh Jawatankuasa
Skim.
2.6. Pengarah bermaksud seseorang
yang telah diwartakan sebagai Pengarah Rukun Tetangga di bawah
Peraturan-Peraturan Perlu (RT) 1975.
3. PUSAT RONDAAN
3.1. Setiap Kawasan/Sektor Rukun Tetangga
yang mengendalikan Skim Rondaan Sukarela perlu mempunyai sebuah pusat rondaan
sebagai pusat operasi.
3.2. Pusat rondaan boleh diadakan di pusat
atau di bangunan Rukun Tetangga, Balai raya, dewan orang ramai, pos kawalan, di
rumah ahli Jawatankuasa Skim atau di mana-mana tempat yang difikirkan sesuai
yang dibenarkan oleh seseorang Pengarah Rukun Tetangga.
3.3. Alat-alat yang perlu ada di pusat
rondaan adalah: Buku Rekod Kedatangan, Daftar Pemastautin Sukarelawan, Buku Rekod
Rondaan, Kotak Pertolongan Cemas dan lain-lain peralatan yang difikirkan perlu
oleh Jawatankuasa Skim atau Pengarah Rukun Tetangga.
4. TUJUAN RONDAAN
4.1. Membantu mencegah jenayah dan gejala
sosial yang negatif di dalam kawasan rondaan.
4.2. Membendung kegiatan jenayah dan gejala
sosial yang negatif.
4.3. Membantu pihak berkuasa menangkap
penjenayah dan menyerahkan penjenayah tersebut kepada pihak polis dangan kadar
segera.
4.4. Membantu menguatkuasa undang-undang
jika diminta berbuat demikian oleh Pengarah Rukun Tetangga dan lain-lain agensi
penguatkuasa seperti polis.
4.5. Memberi perlindungan ke atas nyawa dan
harta benda pemastautin.
4.6. Membantu melaksanakan lain-lain tugas
yang diarahkan oleh seseorang Pengarah Rukun Tetangga atau Jawatankuasa Skim
dari semasa ke semasa.
5. TUGASAN RONDAAN
5.1. Tugas rondaan terbahagi kepada dua (2)
kategori iaitu rondaan berjalan kaki dan rondaan berkenderaan.
5.2. Rondaan berjalan kaki tidak kurang
dari 3 orang Pemastautin Sukarelawan dan kawasan rondaan tidak melebihi 2
kilometer.
5.3. Manakala rondaan berkenderaan tidak
kurang dari 3 orang anggota Pemastautin Sukarelawan dan kawasan rondaan yang
lebih luas.
5.4. Rondaan berkenderaan boleh dilaksanaan
samada dengan menggunakan kereta, motosikal atau basikal.
5.5. Setiap Pemastautin Sukarelawan adalah
bertanggungjawab bagi mendapatkan tarikh, masa dan kawasan rondaan daripada
Jawatankuasa Skim.
6. TANGGUNGJAWAB JAWATANKUASA SKIM
6.1. Menyediakan Daftar Pemastautin
Sukarelawan yang mengandungi butir-butir peribadi Pemastautin Sukarelawan.
6.2. Menyediakan Roster Rondaan
Pemastautin Sukarelawan.
6.3. Memaklumkan kepada semua Pemastautin
Sukarelawan kandungan Roster Rondaan dan membekalkan satu salinan kepada
Pengarah Rukun Tetangga dan pihak polis.
6.4. Mempamerkan Roster Rondaan di Pusat
Rondaan.
6.5. Memilih seorang Pemastautin
Sukarelawan sebagai Ketua Kumpulan Rondaan bagi setiap syif.
6.6. Menyusun rondaan sukarela.
6.7. Mendapatkan Surat/Kad Pengenalan Diri
Pemastautin Sukarelawan yang telah ditandatangani Pengarah Rukun Tetangga.
6.8. Menyediakan peralatan rondaan yang
diperlukan.
6.9. Mendapatkan sumber kewangan dan
menjelaskan segala perbelanjaan berkaitan dengan rondaan sukarela.
6.10. Memberi maklumat yang dikehendaki
oleh Pengarah Rukun Tetangga dan pihak Polis dari masa ke semasa berhubung
dengan pengendalian Skim Rondaan Sukarela.
6.11. Menyedia dan mengemukakan Laporan
Bulanan Rondaan kepada Pengarah Rukun Tetangga.
7. TAKLIMAT SEBELUM MEMULAKAN RONDAAN
7.1. Ketua Kumpulan Rondaan hendaklah
membuat persediaan pada tiap kali sebelum memulakan rondaan.
7.2. Takliamt sebelum memulakan rondaan
hendaklah di sampaikan oleh Ketua Kumpulan Rondaan, Jawatankausa Skim atau Ahli
Jawatankuasa Skim.
7.3. Anggota Pemastautin Sukarelawan
hendaklah dibaris 15 minit sebelum keluar membuat rondaan dengan tujuan
memastikan:
7.3.1. Semua anggota Pemastautin
Sukarelawan hadir.
7.3.2. Semua anggota Pemastautin
Sukarelawan yang bertugas dibekalkan dengan peralatan rondaan.
7.3.3. Semua anggota Pemastautin
Sukarelawan menandatangani Buku Rekod Kedatangan.
7.4. Memberi taklimat mengenai
arahan-arahan seperti berikut:
7.4.1. Laluan serta kawasan rondaan yang
telah ditetapkan.
7.4.2. Cara-cara menjalankan rondaan.
7.4.3. Perhubungan dengan orang ramai.
7.4.4. Perhubungan dengan polis dan
lain-lain agensi penguatkuasaan.
7.4.5. Arahan daripada Pengarah Rukun
Tetangga dan Jawatankuasa Skim.
7.4.6. Memberitahu tempat-tempat yang perlu
diambil perhatian untuk keselamatan diri.
7.4.7. Memberitahu kejadian-kejadian yang
telah berlaku berdasarkan maklumat orang ramai dan rondaan terdahulu dari ini.
7.5. Menyuraikan baris Pemastautin
Sukarelawan selepas taklimat.
7.6. Memberi arahan agar rondaan dimulakan
mengikut laluan serta kawasan rondaan yang telah ditetapkan.
8. CARA MENJALANKAN RONDAAN
8.1. Berjalan ditepi jalan dalam jarak yang
selamat dari kenderaan dihadapan dan kenderaan di belakang dan jika
berkenderaan, kenderaan mesti dipandu perlahan dalam jarak yang selamat dari
pengguna jalan raya yang lain.
8.2. Sentiasa berwaspada dan mengawasi
keadaan serta laluan dan kawasan rondaan.
8.3. Jika rondaan dibuat pada waktu malam
hari, elakkan dari membuat bising yang boleh mengganggu ketenteraman orang
ramai.
8.4. Hendaklah menghubungi Pusat Rondaan
bagi membuat laporan mengenai keadaan semasa dan perkara-perkara yang
memerlukan tindakan segera Pusat Rondaan.
9. TANGGUNGJAWAB KETUA KUMPULAN RONDAAN
9.1. Mengetahui ahli-ahli kumpulan rondaan
dalam syif yang telah ditetapkan.
9.2. Memberi taklimat mengenai arah
rondaan, peraturan-peraturan/larangan serta tindakan yang perlu di ambil semasa
rondaan dan sebelum rondaan.
9.3. Mempastikan semua ahli syif menurunkan
tandatangan dalam Buku Rekod Kedatangan.
9.4. Mempastikan semua ahli syif membawa
peralatan yang ditentukan semasa rondaan.
9.5. Bertanggungjawab mengumpul semua
peralatan yang digunakan selepas selesai rondaan dan menyimpan dalam
stor/tempat yang telah ditentukan oleh Jawatankuasa Skim.
9.6. Mengawasi supaya ahli-ahli mematuhi
arahan dan peraturan yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Skim.
9.7. Membuat laporan dalam buku catatan
Rondaan sesudah selesai menjalankan rondaan mengikut syif yang telah
ditetapkan.
10. TANGGUNGJAWAB PEMASTAUTIN SUKARELAWAN
SEMASA RONDAAN
10.1. Sentiasa bersedia untuk mematuhi
segala arahan daripada Pengarah Rukun Tetangga, Jawatankuasa Skim, Ahli
Jawatankuasa Skim dan Ketua Kumpulan Rondaan.
10.2. Sentiasa membawa Surat/Kad Pengenalan
Diri dan menggunakan alat-alat yang ditentukan oleh Pengarah Rukun Tetangga dan
Jawatankuasa Skim.
10.3. Sentiasa menjaga disiplin serta
berkelakuan penuh tertib dan sopan semasa menjalankan Skim Rondaan Sukarela.
10.4. Sentiasa memakai ‘uniform’ yang telah
diluluskan serta dibenarkan oleh seseorang Pengarah Rukun Tetangga semasa
rondaan.
10.5. Seseorang Pemastautin Sukarelawan
hendaklah pada sepanjang masa dan ketika:
a. Tidak mengingkari arahan Ketua Kumpulan
Rondaan
b. Tidak menggunakan bahasa lucah dan
memalukan, serta memaki hamun pada masa bertugas;
c. Tidur atau berjudi;
d. Tidak memberi maklumat palsu;
e. Tidak hadir bertugas tanpa sebab;
f. Tidak berada di bawah pengaruh alkohol
atau apa-apa dadah pada masa bertugas;
g. Tidak secara cual atau tanpa sebab-sebab
yang berpatutan menyebabkan terlepasnya tembakan sesuatu senjata api pada masa
bertugas; dan
h. Tidak bertindak dengan apa-apa cara yang
tidak dinyatakan di atas yang boleh memudaratkan kebajikan sesuatu Kawasan/Sektor
Rukun Tetangga.
11. KUASA MATA-MATA PEMASTAUTIN SUKARELAWAN
SEMASA RONDAAN
11.1. Seseorang Pemastautin Sukarelawan
semasa bertugas meronda atau mengawal dalam kawasan tugasnya adalah disifatkan
sebagai seorang pegawai polis berpangkat mata-mata dan mempunyai segala
kewajipan, segala kuasa dan segala imuniti seorang pegawai polis berpangkat
mata-mata.
11.2. Walau bagaimanapun, kuasa mata-mata
Pemastautin Sukarelawan semasa bertugas meronda atau mengawal dalam kawasan
tugasnya adalah tertakluk kepada apa-apa atahan, syarat, sekatan atau batasan
yang boleh dinyatakan semasa secara lisan atau bertulis oleh seorang Pengarah,
Jawatankuasa Skim atau ahli Jawatankuasa Skim.
12. TAKLIMAT SELEPAS TAMAT RONDAAN
12.1. Ambil baris anggota Pemastautin
Sukarelawan yang habis tugas di luar pusat rondaan.
12.2. Ketua Kumpulan Rondaan perlu
menentukan:
12.2.1. Semua anggota Pemastautin
Sukarelawan baik dari tugas rondaan.
12.2.2. Arahan mengembalikan peralatan
rondaan.
12.2.3. Memberi taklimat mengenai hasil
daripada rondaan yang telah dilaksanakan.
12.2.4. Menyurai baris tugas.
12.2.5. Membuat catatan serta laporan
rondaan di dalam Buku Rekod Rondaan.
13. MENJAWAB PANGGILAN TELEFON
13.1. Hendaklah menjawab telefon dengan
tertib dan sopan santun sebagai mana kehendaki oleh Pengarah Rukun Tetangga dan
Jawatan Skim.
13.2. Mendengar dengan teliti dan mencatat
apa-apa aduan, berita atau makluman yang hendak disampaikan oleh mereka yang
membuat panggilan.
13.3. Memaklumkan dengan kadar segera
apa-apaa aduan, berita atau makluman kepada Pengarah Rukun Tetangga,
Jawatankuasa Skim atau pihak polis; jika ianya memerlukan tindakan segera dan
serta merta.
4. PERSIAPAN MENYERAH TUGAS PENYELIAAN DI
PUSAT RONDAAN
14.1. Ahli Jawatankuasa Skim atau
Pemastautin Sukarelawan yang ditugaskan di Pusat Rondaan dikehendaki membuat
catatan satu senarai untuk serah menyerah tugas bagi menyenangkan untuk
meneliti dan mempastikan semua perkara dalam keadaan lengkap.
14.2. Sebelum menerima tugas, ahli
Jawatankausa Skim atau Pemastautin Sukarelawan yang akan mengambil alih tugas
menyelia Pusat Rondaan, mempastikan semua borang dan peralatan yang adalah
lengkap dan sempurna.
14.3. Memberi taklimat dan arahan tugas
kepada yang menerima tugas menyelia Pusat Rondaan.
14.4. Memberitahu jika ada aduan atau
kes-kes terbaru yang diterima.
14.5. Memberi penerangan mengenai tahunan
atau tangkapan samada masih dalam tahunan atau telah diserah kepada pihak
polis.
14.6. Bersurai setelah diambil alih oleh
ahli Jawatankuasa Skim atau Pemastautin Sukarelawan yang baru masuk bertugas.
15. LAIN-LAIN TUGAS DI PUSAT RONDAAN
15.1. Membantu orang ramai menunjukkan
tempat yang ingin mereka pergi, contoh seperti ke rumah saudara mara dan
sebagainya.
15.2. Menjadi mediator dalam sebarang
pertelingkahan orang ramai jika diminta berbuat demikian.
15.3. Menghubungi Balai Polis berhampiran
bagi mendapatkan maklumat atau bantuan jika diperlukan.
16. PENYELARASAN TUGAS DI PUSAT RONDAAN
16.1. Penyelarasan tugas di Pusat Rondaan
akan ditentukan oleh Jawatankuasa Skim.
16.2. Jawatankausa Skim bertanggungjawab
melantik tidak kurang daripada 4 orang ahli Jawankuasa Skim atau Pemastautin
Sukarelawan pada satu-satu masa sebagai Penyelia di pusat Rondaan sewaktu
rondaan sedang dilaksanakan.
16.3. Jawatankausa Skim bertanggungjawab
bagi menentukan waktu bertugas ahli Jawatankausa Skim atau Pemastautin
Sukarelawan sebagai Penyelia Pusat Rondaan mengikut roster rondaan yang telah
ditetapkan.
16.4. Jawatankuasa Skim hendaklah melantik
salah seorang Penyelia Pusat Rondaan sebagai Ketua Penyelia Pusat Rondaan.
17. TUGAS PENYELIA PUSAT RONDAAN
17.1. Penyeliaan Pusat Rondaan hendaklah
tiba di Pusat Rondaan satu (1) jam lebih awal sebelum syif rondaan bermula.
17.2. Penyelia Pusat Rondaan hendaklah
mempastikan semua peralatan termasuk buku catatan bagi kegunaan rondaan telah
disediakan oleh Jawatankausa Skim.
18. PERHUBUNGAN DENGAN ORANG RAMAI
18.1. Mempastikan Ahli Jawatankausa Skim
atau Pemastautin Sukarelawan yang bertugas di Pusat Rondaan atau yang
menjalankan rondaan sentiasa menjaga disiplin, sopan dan santun serta berbudi
bahasa dan pekerti yang tinggi mutunya sewaktu berurusan dengan orang ramai.
19. KERJASAMA DENGAN PIHAK POLIS
19.1. Pihak polis hendaklah dimaklumkan
mengenai kewujudan Skim Rondaan Sukarela di Kawasan/Sektor Rukun Tetangga yang
berkenaan.
19.2. Satu salinan daftar Pemastautin
Sukarelawan yang terlibat dengan Skim Rondaan Sukarela dan roster hendaklah
diberikan kepada pihak polis.
19.3. Semua pihak termasuk Jawatankausa
Skim, Ahli Jawatankausa Skim dan Pemastautin Sukarelawan hendaklah memberi
kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis berhubung dengan sebarang maklumat
mengenai Skim Rondaan Sukarela.
19.4. Pihak polis hendaklah juga dijemput untuk
bersama-sama meronda bersama Pemastautin Sukarelawan.
19.5. Sebarang kejadian atau laporan yang
mencurigakan hendaklah dimaklumkan kepada pihak polis sama ada oleh
Jawatankuasa Skim Rondaan Ahli Jawatankuasa Skim dan Pemastautin Sukarelawan.
20. MENERIMA ADUAN ORANG RAMAI DI PUSAT
RONDAAN
20.1. Apabila menerima aduan daripada orang
ramai, tindakan yang perlu diambil oleh ahli Jawatankuasa Skim adalah:
20.1.1. Menerima dan membuat catatan di
dalam buku catatan.
20.1.2. Memaklumkan kepada Jawatankuasa
Skim dengan kadar segera.
20.1.3. Menerima arahan daripada
Jawatankuasa Skim untuk tindakan selanjutnya.
20.1.4. Merujuk kepada Balai Polis yang
berdekatan untuk tindakan selanjutnya.
20.1.5. Merujuk kepada Pengarah Rukun
Tetangga untuk tindan selanjutnya.
21. KERJASAMA DENGAN LAIN-LAIN AGENSI
KERAJAAN
21.1. Skim Rondaan Sukarela juga berharap
untuk mendapatkan kerjasama dengan lain-lain Agensi Kerajaan seperti RELA,
JAKIM, MAJLIS PERBANDARAN, PEJABAT, pejabat daerah serta lain-lain Agensi
Penguatkuasaan undang-undang dalam manjayakan Skim ini.
21.2. Sebarang bentuk kerjasama dengan
lain-lain agensi kerajaan boleh dibincangkan bersama dengan Pengarah Rukun
Tetangga dan Jawatankuasa Skim di mana Skim Rondaan Sukarela dilaksanakan.